Pages

“Orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh, kelak akan Kami masukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah telah membuat suatu janji yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya dari pada Allah?”
(An-Nisa : 122)

Bab 4 : Riba


1. Maksud Riba’.
- Pada bahasa ialah bertambah atau subur.
- Pada Syarak ialah aqad bagi sesuatu pertukaran barang-barang yang tertentu tetapi tidak diketahui persamaannya menurut kiraan syarak ketika aqad atau diketahui persamaannya dengan menggunakan kedua-dua pertukaran itu atau salah satu dari keduanya.
2. Riba’ terbahagi kepada tiga bahagian :-
a) Riba’ Al-Fadhl – riba yang dibayar lebih pada satu pihak yang menukarkan barang.
Contohnya : Satu kilo beras mahsuri ditukar dengan satu kilo beras yang lain ( berlainan kualiti dan jenis ).

b) Riba’ Al-Yad - riba’ yang dibayar lebih kerana tidak diterima dalam majlis aqad jualbeli.
Contohnya : Seseorang yang beraqad sebanyak RM 100.00 tetapi
apabila diluar aqad dibayar RM 105.00.

c) Riba’ Al-Nasi’ah – riba’ yang dibayar lebih kerana dilewatkan pembayarannya.
Contohnya : Pinjaman sebanyak RM 100.00 maka dibayar balik
RM 120.00
3. Dalil-dalil pengharaman riba’
- Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Allah telah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba’. ”
( Surah Al – Baqarah – Ayat 275 )

- Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu makan riba’ yang berganda-ganda dan takutlah kamu kepada Allah s.w.t mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan.”
(Surah Ali Imran – Ayat 130)

- Sabda Rasullah s.a.w yang bermaksud :
“Allah s.w.t telah melaknatkan orang yang makan riba’ orang yang berwakil padanya dan jurutulisnya dan saksi-saksinya dan mereka berkata mereka itu sama sahaja. “
(Riwayat Muslim)
4. Hikmah diharamkan riba’

- Riba adalah merupakan satu penindasan dan pemerasan terhadap orang-orang miskin kerana yang miskin bertambah miskin, fikirannya bertambah bimbang kerana memikirkan tentang bagaimana hendak membayar hutangnya yang sentiasa bertambah bunganya bila lambat dibayar.
- Pihak yang memakan riba’ akan bertambah kaya dan senang.
- Riba’ akan mendorong pemakannya hidup senang-lenang tanpa bekerja dan berusaha sedangkan Islam menggalakkan umatnya untuk berusaha dan bekerja.
- Riba boleh merenggangkan merosakkan perhubungan di antara orang kaya pemakan riba’ dengan orang miskin seterusnya akan menimbulkan kekacauan di dalam masyarakat dan negara timbullah di sana-sini rompakan, pembunuhan dan sebagainya.

5. Syarat-syarat penjualan barang-barang untuk mengelakkan riba’ :-
- Barang yang sama jenis:-
a) Hendaklah sama sukatan atau timbangan keduanya.
b) Hendaklah sama dengan tunai.
c) Hendaklah berterimaan di dalam majlis aqad.
- Barang yang tidak sama jenis:-
a) hendaklah dengan tunai.
b) hendaklah berterimaan di dalam majlis aqad.
6. Jika barang pertukaran itu berlainan jenis seperti beras dan wang dan sebagainya tidak dikenakan apa-apa syarat dan boleh dijualbeli sebagaimana dalam persetujuan antara kedua pihak.

( Rujukan Kitab - Kitab Matla’al Badrain – Syeikh Daud Fattani )